Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, masih berharap saingan Zon ASEAN Piala AFC dapat dianjurkan tahun ini meskipun masa depan kejohanan itu dilihat seperti 'telur di hujung tanduk'.

Kedah sepatutnya beraksi dalam saingan Kumpulan H musim ini tetapi penarikan diri Singapura selaku tuan rumah berikutan pandemik COVID-19 bulan lalu telah meletakkan saingan Zon ASEAN di ambang pembatalan.

AFC hanya akan menunggu dalam masa tiga hari ini untuk mencari tuan rumah sebelum membatalkan kejohanan itu selepas tempoh berkenaan.

Bagi Aidil Sharin, dia masih mengharapkan keajaiban agar kejohanan itu dapat diteruskan dan menganggap pembatalannya sebagai satu kerugian, terutama buat pemain muda Kedah.

"Mungkin tahun lalu mereka dapat lihat kami beraksi dalam (playoff) ACL (Liga Juara-Juara Asia), jadi mereka seronok untuk mendapatkan pengalaman yang tidak boleh dibeli itu.

"Pada saya, ia memang sesuatu yang amat mengecewakan sekiranya ia terjadi (pembatalan saingan) tetapi kami masih belum dapat sebarang keputusan 100 peratus, jadi perkara ini mungkin boleh berubah," katanya.