Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, menjelaskan terdapat tuntutan gaji tertunggak daripada tonggak Kuantan FA dan secara keseluruhannya merangkumi tuntutan gaji selama dua setengah bulan hingga sembilan bulan.

Tambah Rezal, tuntutan pemain Kuantan FA itu adalah berdasarkan dokumen yang diterima pada 13 September lalu.

Setakat ini, PFAM juga masih menanti maklum balas daripada Kuantan FA sebelum kes ini dibawa ke Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

"Berkenaan tuntutan yang dibuat pemain Kuantan FA, kontrak mereka berbeza-beza.

"Ada yang mempunyai kontrak selama setahun dan dua tahun, sebab itulah terdapat tuntutan berbeza di antara dua bulan setengah hingga sembilan bulan gaji.

"Sebab itulah mereka membuat aduan kepada PFAM," ujarnya.

Memandangkan Kuantan FA juga adalah ahli gabungan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Rezal menyarankan kelab itu agar merujuk kepada persatuan itu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengakui isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA adalah kes paling serius musim ini.

"Kami perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Status FAM sebelum mengambil tindakan selanjutnya bagi menentukan sejauh mana dakwaan pemain-pemain tidak mendapat gaji.

"Jika didapati betul, sudah tentu FMLLP dan FAM akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya," katanya.