Melaka United FC (MUFC) masih diulit masalah gaji apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebentar tadi mengesahkan tunggakan gaji membabitkan skuad Kancil itu sudah mencecah tiga bulan.

PFAM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesahkan seramai 17 pemain telah membuat laporan terhadap isu itu yang membabitkan bulan Jun dan Julai selain baki bayaran Januari 2022 dan persatuan berkenaan mengambil serius masalah pemain dan sedia membela hak pemain.

"PFAM sudah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MUFC bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini sudah dibawa ke peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu agar suatu tarikh ditetapkan oleh FAM bagi membincangkan perkara ini ketika Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC).




"PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.

"Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati obligasi yang sudah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak," kata persatuan itu.