Jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) akan cuba menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain terlebih dahulu sebelum memutuskan masa depan presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

PFA menerusi satu kenyataan rasmi semalam menggantung tugas Ahmad Amizal sehingga kongres persatuan itu yang berikutnya.

Selain itu, tindakan sama turut diambil ke atas naib presiden II, Muhammad Sukur Hashim, selain merehatkan jawatan setiausaha agung, Adib Rabani Muaz.

Tugas presiden ketika ini dijalankan oleh Timbalan Presiden PFA, Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Beliau menjelaskan apa yang menjadi keutamaan badan induk itu kini adalah menyelesaikan kemelut tunggakan gaji membabitkan pemain skuad 2019 serta bekas pemain pasukan Singa Utara itu.

Abdul Karim turut mengakui terkejut dengan tindakan Ahmad Amizal yang meninggalkan persatuan itu menerusi surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Penolong Setiausaha PFA, Naimuddin Haron.

"Kami keluarkan surat dia digantung terlebih dahulu, kemudian dia hantar surat letak jawatan. Ia tidak diumum secara rasmi kepada exco tetapi hanya kepada penolong setiausaha. Kami memberi tumpuan kepada rayuan terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dulu dan menunggu minggu depan," kata Abdul Karim.

Untuk rekod, Ahmad Amizal menerajui PFA selepas mendapat kepercayaan ahli sewaktu kongres luar biasa badan induk berkenaan Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan badan induk telah menerima keputusan yang diambil PFA.

Dia menjelaskan perkara itu akan diteliti lebih lanjut menerusi Bahagian Perundangan FAM.

Stuart menganggap ia merupakan antara kesan domino susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Perlis dan dia mahu kepimpinan sementara PFA memberi tumpuan kepada tanggungjawab mereka bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Bahagian Undang-Undang FAM memiliki individu tertentu yang memantau semua ahli gabungan FAM. Dia akan memberi pendapat undang-undang kepada saya pagi esok mengenai isu ini dan perkara lanjut akan diketahui minggu depan. Siapa yang berkuasa ketika itu perlu selesaikan isu tunggakan gaji dan bukan hanya melepaskan jawatan," ujar Stuart.

Dalam perkembangan berasingan, Stuart turut mengesahkan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia Perlis telah dikeluarkan daripada pertandingan masing-masing selepas tidak melengkapkan pendaftaran pemain dan tiada dokumen sokongan.