Jurgen Klopp percaya Alisson Becker adalah pemain terbaik Liverpool dalam kekalahan 0-1 kepada Napoli awal pagi tadi dan berasakan ia satu perkara yang buruk apabila penjaga gol lebih menonjol daripada pemain lain.

Liverpool buntu mencipta jaringan di Stadio San Paolo yang menyaksikan Lorenzo Insigne meledak gol kemenangan untuk Napoli yang mempamerkan aksi lebih unggul.

The Reds tumpul di jentera serangan sambil Klopp menyuarakan kekecewaannya dalam temu bual di stesen televisyen selepas perlawanan.

Begitupun, dalam sidang akhbarnya, Klopp akur dengan kesilapannya sendiri selain mengakui Alisson lebih menonjol daripada rakan sepasukannya yang lain.

"Saya tidak 100 peratus yakin mengapa (persembahan sebegitu buruk dipamerkan Liverpool) tetapi jelas kami beraksi buruk," kata Klopp kepada wartawan.

"Gerakan bertahan kami tidak cukup baik, kami tidak menutup ruang pada masa yang tepat, kami tidak bertindak balas dalam keadaan yang betul dan membenarkan mereka mengamalkan permainan sendiri.

"Kami tidak mencipta banyak peluang tetapi aksi kami dalam separuh masa kedua tidak cukup baik. Selalunya ia adalah petanda buruk apabila anda mengatakan bahawa penjaga gol merupakan pemain terbaik anda tetapi ia cukup jelas malam ini.

"Sebahagian besar prestasi ini disebabkan kesalahan saya, saya perlukan semalaman untuk menonton perlawanan ini, namun ia bagaikan tidak sepatutnya ditonton."

Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, dipuji atas persediaan pasukannya, terutama sekali keupayaan mereka ketika mengekang barisan tiga penyerang Liverpool.

Dalam sidang berita sebelum perlawanannya, Klopp merujuk kepada Ancelotti sebagai "musang licik" kerana keupayaannya dalam perang saraf sehingga mendorong rakan sejawatannya itu melabelnya sebagai singa pula.

"Carlo Ancelotti merupakan pengurus yang luar biasa. Jika anda ingin mengatakan bahawa beliau singa, saya tidak mempunyai masalah dengan itu," katanya.

"Kami kehilangan rentak dan agak sukar untuk mengimbangi permainan Napoli. Saya cukup pasti sebab-sebabnya adalah jelas, kemudian kami mula mengatur gerakan tersusun, namun kami tidak cukup bagus dan biasanya ia akan menjurus kepada kekalahan. Itulah yang berlaku kepada kami."

Liverpool gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan tersebut dan Klopp tidak ingat bilakah kali terakhir perkara seumpama itu berlaku ke atas skuadnya.

Dia berkata: "Tiada percubaan tepat ke sasaran, saya tidak ingat bilakah kali terakhir perkara ini berlaku. Ia memainkan peranan besar dalam perlawanan ini dan kami sepatutnya mampu bermain dengan lebih baik.

"Kami tidak mempunyai banyak situasi bola mati manakala percubaan tepat pun tidak mencukupi. Napoli menjelmakan permainan menarik dan kami tidak, sebab itulah mereka layak mendapat tiga mata."