ANDORRA 0 PERANCIS 4

Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memuji pasukannya selepas bangkit daripada kekalahan di tangan Turki untuk menewaskan Andorra 4-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Stadium Nasional Andorra, awal pagi tadi.


Kylian Mbappe menjaringkan golnya yang ke-100 sepanjang karier ketika Les Blues kembali ke puncak Kumpulan H selepas Turki -- yang menewaskan skuad kendalian Deschamps itu 2-0, Ahad lalu -- tewas 1-2 kepada Iceland.

Andorra jarang-jarang sekali memberikan ancaman, namun Perancis beberapa kali memperlihatkan tanda-tanda terlalu cepat berpuas hati selepas Wissam Ben Yedder dan Florian Thauvin menjaringkan gol dalam babak pertama susulan gol pembukaan menerusi lambungan gemilang Mbappe pada minit ke-11.

Kurt Zouma mengubah kedudukan kepada 4-0 menjelang sejam permainan manakala Antoine Griezmann dan Mbappe terlepas peluang terhidang untuk menambah jaringan dalam babak kedua.

Deschamps, yang mengkritik mutu permainan kesemua pemainnya selepas perlawanan menentang Turki, tiada apa untuk dirungutkan mengenai aksi yang dipamerkan pasukannya, awal pagi tadi.

"Terlalu banyak yang diaplikasikan walaupun kami mungkin memperoleh lebih jaringan," katanya dalam siaran televisyen Perancis.

"Saya melihat perwatakan yang hebat dan banyak komitmen serta kesungguhan yang diberikan.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat.

"Pasukan ini memberikan reaksi segera selepas aksi buruk.

"Ia nampak mudah hari ini, namun kami melakukannya dengan amat baik.

"Kami bermain dengan kualiti yang tinggi dan saya berasakan setiap pemain gembira untuk bermain sesama mereka.

"Pemain melakukannya dengan baik. Kami kini memiliki sembilan mata dan perlu mendapatkan seberapa banyak yang mungkin.

"Tiga mata ini sama nilainya dengan perlawanan lain.

"Kini, semua pemain akan pergi bercuti dengan perasaan yang baik.

"Mereka memerlukannya kerana perlawanan seterusnya ialah pada September depan," katanya.

Perancis menerajui Kumpulan H selepas empat perlawanan walaupun berkongsi mata yang sama dengan Turki dan Iceland.

Seterusnya, Les Blues akan bertemu Albania, 7 September depan, sebelum menantikan kunjungan Andorra tiga hari kemudian.