Pemain PJ City, Mahali Jasuli, mengakui dia melewati perubahan posisi yang hebat dalam kariernya daripada pertahanan ke penyerang.

Pada usia 32 tahun, cabaran daripada ketua jurulatih, P. Maniam, itu sebenarnya mengimbau kemampuan Mahali 15 tahun lalu, ketika berada dalam skuad B-19 Selangor dengan pengendali yang sama.

"Saya pernah beraksi bersama jurulatih yang sama sebagai penyerang ketika bersama skuad B-19 Selangor dan selepas 15 tahun, saya diberikan kepercayaan untuk bertindak sebagai penyerang," kata Mahali.

Bagi pemain berpengalaman Shukor Adan pula, perubahan posisi adalah perkara biasa melibatkan pemain ketika di penghujung karier.

Namun, daripada pertahanan ke penyerang sepertimana Mahali, ia dianggap perkara cukup istimewa.

"PJ City yang tiada pemain import dan kelibat Mahali adalah seperti pemain import atas keupayaan daripada segi fizikalnya. Dia telah melakukan tugas yang baik dalam usaha pasukan mendapatkan jaringan dan itu merupakan satu perkara positif," kata Shukor.