BRENTFORD 1 MAN UTD 3

Manchester United "dimusnahkan" dalam separuh masa pertama ketika menang 3-1 ke atas Brentford sambil Thomas Frank menganggap pertemuan itu lebih layak untuk seri.


United gagal mencipta sebarang percubaan tepat pada awal babak di barat London itu awal pagi tadi, sementara David de Gea terpaksa menyelamatkan tiga percubaan berbahaya daripada Mathias Jensen dan Ethan Pinnock.

Selepas tandukan Cristiano Ronaldo singgah di palang dalam permulaan separuh masa kedua, Anthony Elanga meletakkan The Red Devils di hadapan menerusi percubaan tepat mereka.

Mason Greenwood dan Marcus Rashford kemudian meletakkan United selesa di depan untuk memastikan kemenangan ke-300 Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan buat kelab itu, manakala Ivan Toney menjaringkan gol sagu hati pada lewat permainan buat Brentford.

"Sangat bangga dengan pasukan saya. Saya fikir kami adalah kelab paling kerdil dalam EPL, Manchester United mungkin yang terbesar. Saya fikir kami telah memusnahkan mereka menerusi corak permainan kami dalam separuh masa pertama," kata Frank kepada BT Sport.




"Kami sepatutnya mendahului sekurang-kurangnya 2-0, mereka tidak pernah melancarkan sebarang ancaman. Kami mencipta lima, enam peluang selain tiga lagi peluang berharga. Man United patut mencatat keputusan seri. Saya fikir mereka sangat bertuah.

"Sudah tentu kami perlu memanfaatkan peluang, saya tahu menyedarinya. Tetapi saya bangga dengan prestasi kami. Mereka terpaksa mengubah taktikal ketika menentang Brentford yang merupakan pasukan kerdil.

"Saya sangat, sangat bangga dengan pasukan saya.

"Ini merupakan salah satu malam yang mengecewakan, itulah bola sepak. De Gea mempamerkan satu persembahan yang sangat baik. Jika kami menggunakan peluang yang ada, salah satunya pasti menerjah ke gawang.

"Keamatan kami membunuh mereka, kami membuktikannya dalam babak pertama. Kami mengasak mereka, apabila kami terpaksa bertahan rendah, kami memenangi bola kedua, kami mengatur gerakan dan berlari di belakang mereka. Kami beraksi dengan cara Brentford dalam separuh masa pertama.

"Permainan menjadi terbuka. Mereka tidak mempunyai peluang sebelum gol mereka terhasil. Sudah tentu, saya tahu itulah sebabnya mereka membayar GBP72 juta (RM571j) ke atas Jadon Sancho yang tidak tersenarai. Itulah sebabnya, mereka sedikit licik ketika meledak jaringan sulung.

"Daripada tiga gol itu, gol kedua paling mengecewakan dan sukar untuk kami bangkit semula. Terdapat banyak perkara positif. Saya fikir penampilan babak pertama kami adalah hebat, saya sangat berbangga dengan pasukan sendiri."