Harapan penyokong menyaksikan pertembungan menarik Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini, tidak menjadi kenyataan apabila aksi itu ditunda bagi memberi peluang kepada JDT membuat persiapan terbaik dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md. Noor, mengesahkan penundaan tersebut dan tarikh terbaharu masih belum ditetapkan.

“KAFA akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menangguhkan perlawanan tersebut dan memberi lebih masa kepada JDT melakukan persiapan terbaik untuk berdepan kelab Gamba United dari Jepun bagi pusingan ketiga kempen ACL.

“Ini kali kedua penundaan perlawanan Liga Super melibatkan Kelantan, namun kami hormati keputusan FAM demi kebaikan kedua-dua pasukan,” katanya.

Mengakui dapat memahami kekecewaan penyokong setia TRW, Ismail, berharap peminat akan terus memberi sokongan hebat kepada skuad kendalian Zahasmi Ismail untuk terus memberikan aksi terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

“KAFA memahami kekecewaan yang dialami oleh penyokong (akibat penundaan ini), namun teruslah memberi sokongan hebat kepada TRW sepanjang kempen Liga Super berlangsung,” katanya lagi.

Untuk rekod, aksi pertama Liga Super Kelantan menentang Melaka United pada 21 Januari lalu terpaksa ditangguhkan akibat keadaan padang yang ditakungi air.