Kekalahan kedua berturut-turut kepada Terengganu dalam masa dua minggu sudah pasti akan memberi kesan yang negatif kepada pemain-pemain Selangor.

Bukan itu sahaja, kekalahan ini juga membuatkan peminat-peminat The Red Giants berang dengan prestasi skuad Merah Kuning itu sehingga mereka memberi tekanan kepada pemain-pemain.

Apa yang pasti, dalam situasi ini, ia akan memberi satu tanggungjawab yang lebih besar kepada pengendali sementara The Red Giants, Nidzam Jamil, untuk mengembalikan reputasi dan keyakinan anak buahnya untuk bangkit.

Ia bukan satu tugas yang mudah bagi jurulatih muda itu untuk mengembalikan keyakinan pemain-pemainnya untuk bangkit kerana Nidzam juga perlu menumpukan kepada taktikal dan formasi yang sesuai dengan kekuatan yang ada pada setiap individu.

Situasi itu perlu diperbaiki segera jika ingin meletakkan The Red Giants kembali menjadi pasukan yang mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan Liga Super ketika ini walapun saingan liga sudah hampir ke penghujungnya.

Jika diperhatikan sepanjang saingan liga musim ini, kelemahan paling ketara yang perlu dibaiki segera The Red Giants itu ialah daripada aspek bertahan secara berpasukan kerana jika dilihat daripada statistik jaringan dibolosi, ia amat tinggi (25 jaringan dibolosi dari 14 perlawanan).

Sementara itu, Nidzam juga perlu mencari seorang libero di bahagian pertahanan yang boleh berkomunikasi dan membaca permainan dengan baik untuk menghalang setiap hantaran atau percubaan lawan. Bukan itu sahaja, Selangor juga memerlukan juga seorang jeneral padang anak tempatan yang dihormati rakan-rakan sepasukannya.

Jika di era 90-an semasa zaman kemuncak dan kegemilangan The Red Giants, mereka mempunyai Ismail Ibrahim sebagai ketua pasukan dan jeneral padang yang disegani pemain-pemain Selangor kerana Ismail seorang ketua yang tegas dan lantang di atas padang.

Karakter itu dapat membantu rakan-rakan sepasukannya menjalankan tugas dengan berkesan serta menggekalkan konsentrasi mereka supaya tidak leka dan lalai sehingga pihak lawan dapat menghidu kelemahan.

Sekiranya elemen-elemen itu dapat diatasi segera oleh pengendali sementara Selangor berkenaan, ia pasti dapat mengembalikan keyakinan dan moral pemain untuk bagkit memberi tentangan kepada lawan mereka dan seterusnya mencipta kemenangan.