Alessandro Bastoni, Gian Marco Ferrari dan Mattia Zaccagni menjadi pemain terbaru dipanggil menyertai skuad Itali menjelang tiga perlawanan antarabangsa dalam masa terdekat.

Pertahanan tengah, Bastoni dan Ferrari, akan menjadi pengganti buat Angelo Ogbonna dan Alessio Romagnoli, yang mengalami kecederaan ketika mewakili kelab masing-masing hujung minggu lalu.

Bastoni pada awalnya hanya disenaraikan dalam skuad B-21 tetapi kini akan menyertai pasukan senior menjelang aksi persahabatan menentang Estonia awal pagi Khamis ini.

Ia merupakan panggilan kedua buat pertahanan Inter itu selepas turut disenaraikan pada Ogos lalu manakala pemain tengah Hellas Verona, Zaccagni, dinamakan dalam skuad senior buat kali pertama.

Zaccagni mencuri tumpuan ketika mengikat AC Milan 2-2 di San Siro hujung minggu lalu dengan tiada pemain Verona lain dapat melakukan lebih sentuhan (57), melengkapkan hantaran (23) atau mengatasi pertembungan udara (18) berbandingnya.

Ferrari, yang masih belum melakukan sebarang penampilan bersama Itali, tiba di Pusat Latihan Coverciano hari ini selepas dia dan rakan sepasukannya di Sassuolo selesai menajalani kuarantin.

Skuad Azzurri itu masih menantikan kebenaran daripada pihak berkuasa kesihatan untuk membenarkan kehadiran 16 pemain mereka berikutan larangan rentas sempadan koronavirus.

Minggu lalu, ketua jurulatih, Roberto Mancini, diuji positif COVID-19 dan dilaporkan tidak akan terlibat dengan pertemuan menentang Estonia, yang akan dituruti dengan perlawanan menentang Poland dan Bosnia-Herzegovina dalam Liga Negara-Negara Eropah.