BENFICA 0 BAYERN 4

Dino Toppmoller memuji cara pemain Bayern Munich mengatasi ketiadaan Julian Nagelsmann untuk meraih kemenangan 4-0 ke atas Benfica.


Pengurus Bayern, Nagelsmann, terpaksa menarik diri daripada perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara (UCL) itu tiga jam sebelum sepak mula berikutan bergejala seperti selesema, lalu menyerahkan tugas utama di bangku simpanan kepada pembantunya, Toppmoller.

Dua jaringan Leroy Sane, satu lagi menerusi Robert Lewandowski dan gol sendiri oleh pemain Benfica, Everton, melengkapkan kemenangan selesa juara enam kali itu di Lisbon, awal pagi tadi.

Kejayaan itu memastikan Bayern mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan awal untuk menguasai puncak kumpulan, lima mata mendahului Benfica yang menghuni tangga kedua disusuli Barcelona.

Bayern telah meledak 12 gol dan gawang mereka belum pernah dirobek lagi untuk memberi mereka permulaan terbaik dalam UCL dan menjadi pasukan terbaik dalam kempen itu ketika ini.

"Pemain-pemain saya amat sensasi terutama dalam babak kedua," kata Toppmoller kepada DAZN.

"Pujian tinggi kepada mereka. Bukan mudah buat pemain apabila pengurus mereka terpaksa menarik diri pada saat terakhir."





Benfica tidak pernah menewaskan Bayern dalam 11 pertemuan di peringkat Eropah (tiga kali seri, lapan kekalahan).

Namun, di sebalik keputusan bergaya itu, bukan semua yang dirancangkan Bayern menjadi dan mereka terhutang budi kepada dua aksi tangkas penjaga gol, Manuel Neuer, ketika kedudukan masih 0-0.

Pemain antarabangsa Jerman itu membuat penampilan ke-100 dalam UCL untuk menjadi pemain keempat yang mencapainya di kelab berkenaan sementara kemunculan terbanyak menjadi milik Oliver Kahn (103).

"Ia satu pencapaian yang amat besar, saya tidak pernah membayangkannya," kata Neuer mengenai pencapaiannya itu.

"Sekiranya seseorang mengatakan hal ini ketika awal karier saya, saya tidak akan menyangka ia boleh menjadi kenyataan. Ini adalah detik yang menyeronokkan selain kehadiran ramai penyokong hari ini.

"Saya fikir prestasi kami dalam separuh masa kedua sangat luar biasa. Kami hanya memberikan lawan sedikit ruang dan menguasai permainan, tetapi kami buntu untuk merobek pintu gol mereka. Sebaik jaringan pertama itu masuk, segalanya menjadi lebih mudah buat kami. Ini adalah malam yang hebat bagi kami."