CHELSEA 1 ZENIT 0

Jaringan tunggal Romelu Lukaku membuktikan mengapa Chelsea menandatanganinya, kata Thomas Tuchel selepas pasukannya mengalahkan Zenit ketika membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) di Stamford Bridge.


Jaringan pemisah awal pagi tadi itu meletakkan The Blues kini 12 perlawanan tanpa kalah di peringkat kumpulan ketika penyerang Belgium itu merakamkan empat gol dalam tiga perlawanan ke atas kelab Russia.

Tuchel berbelanja besar untuk mendapatkan sentuhan bekas penyerang Manchester United dan Inter itu tetapi menegaskan bahawa persembahan seperti ini mampu menepati nilai perpindahannya.

"Ia satu tandukan yang sangat baik (daripada Lukaku) untuk menyambut umpanan silang Cesar Azpilicueta," kata pengendali itu kepada BT Sport pasca perlawanan.

"Dia cukup berani untuk meluru ke depan dan kami memiliki kelebihan fizikal di dalam kotak penalti. Itulah sebabnya dia (Lukaku) ada di sini. Dia gemar menjaringkan gol dan dia menjadi penentu buat kami."




Dalam sejarah kejohanan, hanya dua daripada 28 kali juara bertahan tewas selain tiada yang pernah kalah di tempat sendiri di peringkat kumpulan dalam aksi pembukaan.

Hanya Manchester City (11) yang memenangi lebih banyak perlawanan UCL daripada Chelsea (10) sejak awal musim lalu, lantas Tuchel gembira dengan permulaan kempen pasukannya dalam Kumpulan H.

"Kami harus berada di tahap tertinggi," kata pengurus itu lagi.

"Saya gembira kerana kami perlu bekerja keras. Ia bukan mudah. ​​Sukar untuk melakukannya secara tekal di tahap seperti ini.

"Kami sememangnya menjangkakan satu perlawanan yang sukar kerana ini adalah kejohanan tertinggi di Eropah sementara mereka adalah juara Russia. Kami memerlukan sedikit masa untuk membuatkan mereka keletihan dan saya suka dengan apa yang saya saksikan.

"Menang adalah bagus untuk mendorong kepercayaan kami. Kami belum selesai lagi tetapi kami berada di kedudukan yang baik untuk meningkat.

"Langkah pertama sudah selesai. Tetapi masih ada lima perlawanan lagi untuk diharungi (di peringkat kumpulan)."