Legenda Jerman, Lothar Matthaus, memberikan Toni Kroos gelaran sebagai salah seorang "pemimpin masa depan" dan berharap pemain tengah Real Madrid itu akan kekal beraksi bersama skuad kebangsaan selepas tersingkir daripada Piala Dunia.

Harapan Kroos dan Die Mannschaft mara ke pusingan kalah mati lebur selepas tewas 2-0 kepada Korea Selatan -- penyingkiran di peringkat kumpulan yang pertama buat mereka dalam tempoh 80 tahun.

Pemain berusia 28 tahun itu merupakan antara pemain Jerman yang diberikan pujian sepanjang kejohanan dan Matthaus memberikan amaran bahawa skuad kebangsaan bakal tempang tanpa khidmatnya.

"Jika Kroos tidak lagi mahu beraksi bersama Jerman, ia akan mendatangkan masalah besar," katanya.

"Dia masih boleh lagi bermain di tahap yang terbaik pada empat tahun akan datang dan peningkatan daripada pemain-pemain lain. Persaraannya akan menjadi satu kehilangan besar.

"Bagi saya, dia merupakan salah seorang pemimpin masa depan buat Jerman," ujarnya.

Matthaus turut menyatakan bahawa jurulatih Jerman, Joachim Low, perlu menyoal pemain-pemain berpengalaman mengenai kesediaan mereka untuk menebus maruah dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar.

"Low memerlukan rancangan yang jelas untuk Piala Dunia Qatar," kata pemenang Piala Dunia 1990 itu. "Beliau perlu memberitahu setiap pemain berpengalaman pasukan mengenai perspektif serta motivasi mereka."