Penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville, menegaskan status dua penjaga gol kebangsaan dalam kem Merah Kuning tidak mengundang masalah kepada The Red Giants.

Sebaliknya, pemain warisan negara itu percaya ia mampu memberi pulangan lumayan kepada pasukan menerusi persaingan sihat dan perkongsian lanjut bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Somerville berhijrah dari Penang FC ketika skuad Red Giants mempunyai Khairul Azhan.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai percaturan kelab berkenaan memandangkan kedua-duanya merupakan penjaga gol negara.

Menyerahkan kepada jurulatih membuat keputusan berhubung perkara itu, Somerville menegaskan kehadirannya adalah untuk menambah kekuatan pasukan.

"Ia adalah demi memanfaatkan pasukan terutama dua penjaga gol yang beraksi di peringkat kebangsaan. Saya mahu bekerjasama dan memastikan kualiti pasukan di bahagian penjaga gol dapat meningkat naik," katanya.

Pemain kacukan England-Malaysia itu juga mengakui keputusannya menyertai Selangor adalah untuk keluar daripada zon selesa.

Walaupun dia menyedari pasukan barunya itu berdepan permintaan tinggi daripada penyokong membabitkan sebarang trofi kejuaraan.

"Saya mengetahui permintaan terhadap Selangor dan saya akan cuba sebaik mungkin dalam memastikan aksi terbaik dapat dipamerkan."