JERMAN 1 DENMARK 1

Thomas Muller dan Mats Hummels melakukan penampilan pertama buat Jerman sejak November 2018 tetapi skuad bimbingan Joachim Low itu terikat 1-1 dengan Denmark dalam perlawanan pemanas badan menjelang Euro 2020 awal pagi tadi.

Kedua-dua pemain itu merupakan sebahagian bintang berpengalaman yang digugurkan Low pada Mac 2019 pada ketika ketua jurulatih itu merancang ramuan baru selepas diaibkan dalam Piala Dunia 2018.

Tetapi gandingan itu kembali diberikan kepercayaan menjelang Euro 2020 -- ditunda setahun berikutan pandemik koronavirus -- yang merupakan tugas terakhir Low sebagai pengendali pasukan itu.

Die Mannschaft jelas pasukan yang lebih baik berbanding lawan kendalian Kasper Hjulmand itu tetapi kemenangan mereka dinafikan apabila Yussuf Poulsen memadamkan jaringan Florian Neuhaus pada 19 minit terakhir di Tivoli Stadion Tirol, Austria.

Jerman bermula baik apabila Muller dan Neuhaus memaksa penjaga gol, Kasper Schmeichel, melakukan siri aksi menyelamat sepanjang 15 minit pertama.

Leroy Sane memperoleh peluang keemasan buat skuad kendalian Low itu selepas setengah jam permainan tetapi separa voli yang dilakukannya dari jarak 12 ela tersasar.

Serge Gnabry hampir memecahkan kebuntuan itu sebelum waktu rehat, namun sepakan lencongnya dari luar kawasan penalti sekadar hinggap di palang gol.

Asakan awal Jerman membuahkan hasil pada tiga minit pertama babak kedua, di mana Neuhaus menjaringkan gol antarabangsa keduanya di depan gawang terbuka.

Denmark kemudian menyamakan kedudukan biarpun jarang memberikan ancaman apabila Poulsen merembat bola melepasi kawalan Manuel Neuer susulan gerakan awal Christian Eriksen.

Muller hampir menjaringkan gol kemenangan Jerman dalam kepulangannya tetapi lambungan yang dilakukannya daripada hantaran Sane berakhir di tiang gol Schmeichel.