BELGIUM 1 CROATIA 0

Romelu Lukaku menemui sasaran dan Eden Hazard pula kembali melakukan penampilan peringkat antarabangsa ketika Belgium menewaskan Croatia 1-0 dalam satu aksi pemanas badan menjelang Euro 2020 awal pagi tadi.

Jaringan kaki kanan menarik Lukaku susulan memanfaatkan umpanan Jason Denayer dalam separuh masa pertama di Stadium King Baudouin sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat pasukan The Red Devils itu.

Pemain yang kerap dibelenggu kecederaan, Hazard, turut dimasukkan daripada bangku simpanan untuk melakukan penampilan pertamanya buat Belgium sejak 19 bulan lalu, hanya enam hari sebelum pasukan kendalian Roberto Martinez itu berdepan Russia dalam perlawanan pertama Euro 2020.

Croatia, yang dikendalikan oleh Zlatko Dalic, pula akan memulakan kempen Kejohanan Eropah mereka dengan menentang England di Stadium Wembley hujung minggu depan.