JERMAN 7 LATVIA 1

Jerman menyempurnakan aksi pemanas badan menjelang Euro 2020 minggu depan dengan penuh bergaya selepas membelasah Latvia 7-1 dalam perlawanan persahabatan di Dusseldorf awal pagi tadi.

Setelah diikat 1-1 oleh Denmark minggu lalu, Jerman menepati ramalan untuk memperoleh kemenangan besar ke atas Latvia.

Penyudah cemerlang dalam masa dua minit, masing-masing disumbangkan Robin Gosens (minit ke 19) dan Ilkay Gundogan (21), meletakkan tuan rumah selesa menguasai perlawanan sebelum Thomas Muller menjadikan kedudukan 3-0 menjelang setengah jam pertama.

Penjaga gol Latvia, Robert Ozols, kemudian terjaring gol ke gawang sendiri susulan usaha yang dilakukan Kai Haverts pada minit ke-39 sebelum Serge Gnabry menutup separuh masa pertama dengan gol kelima Jerman.

Penyerang Chelsea, Timo Werner, turut mendaftarkan nama selaku penjaring pada lima minit pertama babak kedua dan gol Leroy Sane menutup malam gemilang skuad kendalian Joachim Low itu selepas Aleksejs Saveljevs memperoleh jaringan sagu hati buat Latvia.

Jerman akan memulakan kempen Euro 2020 dengan menentang Perancis di Munich awal pagi Rabu depan.