ENGLAND 1 ROMANIA 0

England menewaskan Romania 1-0 hasil jaringan sepakan penalti Marcus Rashford dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka menjelang Euro 2020 tetapi pertemuan itu sekali lagi dipenuhi dengan cercaan daripada penyokong sebagai ejekan buat skuad Three Lions itu awal pagi tadi.

Penyokong mencerca pemain England kerana menyokong pergerakan Black Lives Matter sebelum sepak mula ketika mereka menewaskan Austria 1-0 awal minggu ini dan walaupun pengurus, Gareth Southgate, telah menjelaskan bahawa apa yang dilakukan pasukannya itu didorong oleh ketidakadilan perkauman dan bukannya berunsur politik, ejekan itu sekali lagi kedengaran di Stadium Riverside.

Keadaan itu berpotensi mengganggu emosi pemain dan England gagal memberikan sebarang ancaman pada awal perlawanan di Middlesbrough itu sehinggalah Dominic Calvert-Lewin dan Jadon Sancho melakukan percubaan yang terkena palang gol selepas setengah jam permainan.

Pasukan pelawat juga memberikan ancaman ke kubu England tetapi Jack Grealish kemudian dijatuhkan oleh Tiberiu Capusa sebelum Rashford -- kapten England dalam perlawanan itu -- menyempurnakan sepakan penalti berkenaan pada 22 minit terakhir.

Jordan Henderson, yang dibawa masuk selepas waktu rehat -- perlawanan pertamanya sejak Februari lalu -- berpeluang untuk menggandakan jaringan itu menerusi satu lagi sepakan penalti tetapi percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol, Florin Nita.