Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, memberi gambaran bahawa akan merombak jentera tengah pasukannya menjelang perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan di Amman, Jordan malam esok.

Ini selepas pemain tengah Harimau Malaya kelihatan kurang berkesan sewaktu tewas 0-4 kepada Jordan malam kelmarin.

Rangkaian tiga pemain, Baddrol Bakhtiar, Nazmi Faiz Mansor dan Akram Mahinan kelihatan tidak dapat merencanakan gerakan serangan skuad negara yang dikepalai Guilherme De Paula dan ditambah dengan kecederaan kecil yang dialami Nazmi Faiz, Cheng Hoe tidak menolak bakal melakukan rombakan di bahagian itu.

"Kemungkinan besar (ada perubahan) kerana Nazmi tempoh hari mengalami sedikit kecederaan dan kami perlu lihat sama ada dia sudah pulih 100 peratus atau sebaliknya," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Sekiranya Nazmi tidak dapat beraksi, kami masih ada pemain-pemain lain yang boleh mengisi kekosongannya."

Dalam pada itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, bertekad untuk membuktikan keupayaannya setelah kembali menyarung jersi kebangsaan.

Jelas pemain kelahiran Kelantan itu, dia mahu memanfaatkan pengalamannya untuk membantu mengelakkan gawang negara dibolosi pihak lawan seandainya terpilih untuk diturunkan dalam perlawanan selepas ini.

"Mungkin sudah lama saya tidak beraksi di peringkat antarabangsa tetapi dengan pengalaman yang saya ada sebelum ini, ia mungkin dapat digunakan dalam perlawanan menentang Uzbekistan atau perlawanan yang seterusnya.

"Bagi saya, apabila diberikan peluang, saya akan memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya," katanya.