PERANCIS 3 BULGARIA 0

Perancis menewaskan Bulgaria 3-0 dalam aksi pemanas badan terakhir mereka sebelum Euro 2020 awal pagi tadi tetapi mereka kini berdepan kegusaran apabila penyerang utama, Karim Benzema, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Sepakan akrobatik Antoine Griezmann yang terbias memberikan pasukan juara dunia itu gol pendahuluan sebelum setengah jam permainan dan pemain gantian, Olivier Giroud, pula melengkapkan kemenangan itu dengan gol bergandanya pada lapan minit terakhir.

Bagaimanapun, kehilangan Benzema, yang kelihatan seperti mengalami kecederaan paha dalam babak pertama, pasti akan mengganggu fikiran ketua jurulatih, Didier Deschamps, selepas perlawanan itu.

Selepas dipanggil semula buat kali pertama sejak enam tahun lalu, penyerang Real Madrid itu kelihatan cukup bersemangat dalam memacu skuad kebangsaannya dan menghulurkan lorongan untuk Kylian Mbappe melepaskan rembatan kencang yang diselamatkan penjaga gol, Danial Naumov.

Tidak lama selepas itu, malang buat penjaga gol Bulgaria berkenaan apabila tiada apa yang mampu dilakukannya untuk menyelamatkan bola daripada sepakan akrobatik Griezmann, yang sempat terkena Ivaylo Chochev sebelum menerjah jaring.

Naumov kemudian melakukan satu lagi aksi menyelamat bagi menghalang Griezmann daripada menggandakan jaringannya sebelum waktu rehat-- susulan gerakan sepasukan baik -- selain percubaan Mbappe pada awal babak kedua.

Dan kemenangan Perancis itu disahkan pada lapan minit terakhir apabila Giroud mempamerkan penyudah khasnya ke front-post selepas menerima hantaran lintang Benjamin Pavard.

Penyerang Chelsea itu sekali lagi mempamerkan keberkesanannya apabila menolak masuk hantaran rendah seorang lagi pemain gantian, Wissam Ben Yedder, pada minit terakhir.

Perancis seterusnya akan memulakan kempen Euro 2020 dengan menentang Jerman di Munich minggu depan.