Arsene Wenger percaya penyokong-penyokong Arsenal tidak akan meratapi perpindahan Alexis Sanchez seperti ketika keputusan Robin Van Persie menyertai Manchester United.

Van Persie membuat penyokong-penyokong Gunners marah apabila meninggalkan Arsenal untuk ke Old Trafford pada 2012 dan Sanchez dilihat bakal mengikut jejak langkahnya.

Pemain sayap Chile itu tampak semakin hampir untuk melengkapkan perpindahannya ke United sambil bintang Armenia, Henrikh Mikhtaryan, bertukar arah ke Emirates.

"Saya boleh katakan bahawa peminat-peminat Arsenal kini telah sedia maklum Sanchez tidak mahu menandatangani kontrak baru dan mereka sudah menerimanya.

"Bahkan, perpindahan Sanchez mungkin melibatkan kemasukan pemain baru ke Arsenal, jadi segala-galanya tampak lebih baik.

"Kami kehilangan pemain tetapi menerima kedatangan seorang pemain yang berada pada tahap yang sama," kata Wenger.

"Ia adalah kes sama seperti Van Persie. Kontraknya hanya tinggal setahun dan dia tidak bersetuju dengan tawaran baru daripada kami.

"Kami mendapatkan Van Persie daripada skuad simpanan Feyenoord dan melengkapkannya sebagai seorang pemain. Sudah tentu amat perit melihatnya pergi setelah mencapai tahap terbaik," katanya.

Arsenal bakal melayani kunjungan Crystal Palace di Emirates esok sementara United akan berkunjung ke Burnley.