Manuel Locatelli menyifatkan perpindahannya ke Juventus merupakan "impian jadi kenyataan" dan berterima kasih kepada Sassuolo kerana memberikan platform bagi membuktikan bakatnya.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang membintangi kejayaan Itali dalam Euro 2020, melengkapkan perpindahan bernilai €25 juta (RM123.85 juta) untuk ke Stadium Allianz semalam.

Selepas beberapa minggu dikaitkan dengan perpindahan ke Turin dan beberapa kelab gergasi Eropah, Locatelli akhirnya menurunkan tandatangannya bagi memeterai kesepakatan pinjaman selama dua tahun dengan pilihan pembelian secara tetap bersama Juve.

"Ia merupakan impian jadi kenyataan," katanya kepada Juventus TV selepas melengkapkan perpindahan itu.

"Ia merupakan impian seorang budak kecil yang bekerja dengan amat gigih, yang telah memberikan segala-galanya di atas padang.

"Saya tiba di Juve dengan keazaan untuk turun ke padang buat penyokong dan tidak sabar untuk beraksi di stadium. Ini hanyalah permulaannya," katanya.



Selepas beraksi selama tiga musim di Stadium Mapei, Locatelli memberikan ucapan selamat tinggal paling beremosi buat kelabnya, Sassuolo.

"Apa lagi untuk diperkatakan. Air mata saya yang mengalir sewaktu mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan ini semalam sudah membuktikan anda semua berada dalam hati saya," tulisnya dalam satu kiriman Instagram.

"Anda sentiasa akan ada di sini kerana anda telah menjadikan saya seorang individu dan pemain yang lebih baik.

"Hidup ini ada banyak pilihan dan ini adalah masa yang tepat untuk mengucapkan selamat tinggal selepas anda semua menemani saya dalam perjalanan yang luar biasa ini.

"Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi sebaik anda mengatasi segala kesulitan, keputusannya amat luar biasa.

"Anda semua adalah keluarga saya, anda membawa saya memenangi Euro. Saya sentiasa sayangkan anda semua. Terima kasih daripada setulus hati saya kepada keluarga Squinzi, yang memberikan kepercayaan mereka kepada saya," katanya