Masa depan Andres Iniesta belum diputuskan, demikian menurut jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu memberitahu media bahawa dia sudah memikirkan sama ada akan kekal di Barcelona atau meninggalkan pasukan itu pada akhir musim ini.

Tetapi walaupun laporan mengatakan Iniesta sudah bersedia untuk menamatkan kerjayanya di Camp Nou, Valverde mengatakan ia tidak benar.

"Bercakap mengenai kemungkinan perpisahan untuk Andres Iniesta -- ia belum pasti," kata Valverde dalam sidang media menjelang aksi menentang Celta Vigo awal pagi esok.

"Pemain lain mungkin pergi tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku dan siapa saya untuk mengkatakannya?

"Dia adalah orang yang perlu membuat keputusan dan saya tidak mahu mendahuluinya dan membuat spekulasi," katanya.

Iniesta hanya beraksi dalam dua perlawanan penuh dalam liga musim ini apabila Valverde berhati-hati mengurus tahap kecergasan pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Ia bergantung kepada setiap perlawanan," kata Valverde ketika ditanya tentang merehatkan Iniesta.

"Tetapi dia juga pemain yang perlu direhatkan, dia mempunyai beberapa masalah kecederaan.

"Tetapi pada masa-masa tertentu, ia bergantung kepada perlawanan berlangsung, kamu perlu mengukuhkan kawasan tertentu di padang. Bergantung kepada bagaimana saya melihat pasukan.

"Saya fikir saya menukarnya sekitar minit ke-80 dalam perlawanan terakhir (kemenangan 2-1 ke atas Valencia).

"Saya tidak tahu sama ada saya perlu menukarnya sebelum atau selepas. Apabila dia sudah melakukan tugasnya, saya membawanya keluar. Saya membuat perubahan bergantung kepada skor," ujarnya.