WEST HAM 3 SOUTHAMPTON 0

Marko Arnautovic memuji perpaduan West Ham ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Insiden penyokong mencerobohi padang dan bantahan terhadap pasukan tiga minggu lalu mencemari Stadium London ketika mereka tewas kepada Burnley.

Bagaimanapun, atmosfera yang berbeza berlaku semalam selepas tiga gol berjaya diledak oleh skuad kendalian David Moyes itu, sekali gus melenyapkan kekecewaan penyokong The Hammers.

Arnautovic – meledak dua gol selepas gol pembukaan daripada Joao Mario – bintang buat pasukan tuan rumah, percaya kemenangan ke atas The Saints mampu menjadi pemangkin buat mereka memastikan tidak tersingkir pada penghujung musim nanti.

"Ia merupakan satu persembahan terbaik buat pasukan sepanjang musim ini," katanya

"Kami mengharungi minggu yang sukar dan kami mahu memastikan keputusan yang positif dapat mengurangkan tekanan tersebut.

"West Ham telah cuba bermain sebagai satu pasukan. Kami yakin kami mampu mempamerkan persembahan yang cemerlang dan telah mempamerkannya.

"Saya gembira di atas gol yang telah saya jaringkan, perkara paling penting adalah pasukan ini," katanya.