Ikon bola sepak Senegal, El Hadji Diouf, memuji persembahan pasukan negaranya ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Poland dengan menganggap ia sebagai "permulaan sempurna" tetapi memberi amaran bahawa ujian sukar menanti mereka selepas ini.

Diouf, yang bersama skuad kebangsaan ketika negaranya menyerlah dalam kejohanan 2002, berada di Moscow bagi menyaksikan pasukan Aliou Cisse itu mengalahkan Poland dalam aksi Piala Dunia pertama mereka selepas 16 tahun.

Jaringan sendiri menerusi Thiago Cionek dan gol babak kedua daripada M'Baye Niang sudah cukup untuk memastikan kemenangan skuad benua Afrika itu walaupun dibolosi gol lewat Grzegorz Krychowiak.

Bekas penyerang Liverpool, El Hadji, berkata kepada Omnisport selepas perlawanan: "Ini adalah permulaan yang sempurna untuk kami.

"Ia adalah keputusan dan persembahan yang hebat tetapi kini ujian besar perlu diharungi dalam kumpulan ini."

Senegal akan menghadapi Jepun dan Colombia dalam Kumpulan H, dengan perlawanan menentang skuad Akira Nishino di Ekaterinburg pada Ahad ini memberi peluang kepada kedua-dua pasukan itu untuk meraih tempat dalam pusingan 16.