Walaupun tewas di tangan tuan rumah Singapura pada perlawanan kedua skuad negara di kejohanan jemputan Siri Tiga Negara namun jelas permainan Malaysia amat berbeza kali ini dari apa yang dipamirkan ketika Piala AFF tempoh hari. Dengan tempo kesegeraan (high intensity) yang tinggi dan bergerak secara berpasukan semasa menyerang serta bertahan. Ia telah menunjukkan bawa pemain-pemain Negara mula sesuai serta serasi dengan corak latihan yang dibawakan Kim Pan Gon dan sekiranya memberi lebihan masa kepada Pan Gon dan pasukan kejurulatihan untuk menilai pemain-pemain yang bermain di saingan Liga Super pasti akan mendatangkan manfaatnya pada skuad Negara.

Ini pernah diakui oleh ketua pasukan negara Farizal Marlias dan penyerang muda negara Luqman Hakim apabila mula-mula menyertai latihan skuad Negara, ada menyatakan bahawa corak latihan yang dilakukan Pan Gon amat berbeza dan mirip corak latihan di Eropah. Untuk itu sudah pasti Pan Gon dan pasukannya akan terus memantau perkembangan terkini pemain-pemain yang bermain dalam Liga Super kerana kemungkinan ramai lagi pemain-pemain yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara. Cara begini juga pernah dilakukan Claude Le Roy ketika mencari bakat-bakat muda untuk diketengahkan ke dalam skuad Olimpik Atalanta 1996 lalu.

Sekiranya Pan Gon menjumpai lebih ramai pemain-pemain muda seperti Aiman Arif, Syamer Kutty Abba, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah, Akhyar Rahsid, Safawi Rasid, Quentin Cheng dan Luqman Hakim yang rata-rata mereka berumur 25 tahun ke bawah sudah tentu ia akan memberi kelebihan pada skuad negara pada masa hadapan walaupun misi utama Pan Gon untuk layak ke kejohanan Piala Asia 2023. Namun dalam situasi terkini bagi menggekalkan rentak permainan Pan Gon juga perlu mendapat sokongan dari kelab dan jurulatih-jurulatih di kelab.

Ini kerana ia akan memudahkan Pan Gon dan pasukannya untuk menilai dan melihat sendiri data dan statistik setiap pemain yang mampu mengikut falsafah bola sepak negara. Jika ini boleh dilakukan setiap kelab serta memahami apa yang diperjuangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memajukan bola sepak Negara dengan melahirkan lebih ramai pemain-pemain berkualiti dan ini akan menampakkan bola sepak Malaysia semakin positif serta terus maju. Sokongan dari semua kelab amat ditagih ketika ini terutama dalam mengamalkan corak permainan yang diamalkan Pan Gon di peringkat antarabangsa berdasarkan DNA dan FALSAFAH bola sepak Negara.