'Kita tidak boleh menilai menerusi persepsi sebaliknya perlu melihat kepada realiti dan fakta', itu pesanan Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail, mengenai sasaran yang diletakkan terhadap skuad Harimau Malaya dalam usaha mengejar pentas yang lebih tinggi.

Menerusi program Bola@Mamak, Tunku Ismail turut berkongsikan pandangannya terhadap sasaran serta jangkaan yang diletakkan kepada pasukan kebangsaan.

Tunku Ismail berkata, "Sasaran kita tidak realistik, kita ingat boleh kalahkan Brazil ke? Kita kena cermin muka kita dahulu mana kedudukan kita sekarang dan melihat perjalanan kita. Anda dapat lihat yang dilalui JDT yang kalah berkali-kali dalam saingan ACL kerana masih baru dalam projek itu.

"Sama di peringkat antarabangsa, Malaysia beraksi di atas padang 'cowgrass' sudah berapa lama? Kemudian meletakkan sasaran untuk mengatasi Kuwait, Arab Saudi di tempat mereka, bukan tidak boleh tetapi ia satu tugas yang lebih mencabar. Kita perlu tunggu dan kelab di Malaysia juga tidak mempunyai akademi, JDT satu-satunya kelab yang memiliki akademi.

"AMD (Akademi Mokhtar Dahari) ada tetapi sampai bila nak mengharapkan mereka untuk menghasilkan pemain. Apabila kita tiada pertandingan kompetitif di peringkat akar umbi pun tiada guna juga.

"Kita kena cermin muka sendiri dan menyedari realiti berdasarkan fakta selepas itu baru kita membuat penilaian," kata Tunku Ismai.

Bercakap lagi mengenai perkembangan akar umbi, Tunku Ismail berkata, "Kita perlukan pertandingan akar umbi dengan segera di Malaysia. Setiap kelab perlu mempunyai akademi dan membiasakan pemain muda diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan kompetitif di peringkat awal lagi.

"Tidak semestinya pemain yang dihantar meraih pengalaman di luar negara akan pulang dengan berjaya, itu bukan jaminan sebaliknya sekadar satu teori.

"Sebagai contoh, kita mengangkat Luqman (Luqman Shamsudin), dia pemain yang bagus, dia pemain yang hebat tetapi mengapa kita mengangkat dia terlalu tinggi? Apa pencapaian dia bermain di sana (K.V. Kortrijk)?.

"Kalau dia bagus, saya mahu ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe, meletakkan dia dalam kesebelasan utama dan jika dia berjaya, Alhamdullillah. Kita tidak boleh menilai menerusi persepsi sebaliknya realiti dan fakta."