Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap beraksi di laman sendiri akan memberi mereka kelebihan daripada segi taktikal dan semangat apabila berdepan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An, dalam kempen Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.

Ketua pasukan, Safiq Rahim, berkata JDT tidak boleh tewas dalam perlawanan itu kerana pasukan berkenaan bertekad untuk mara ke saingan seterusnya dalam kejohanan berkenaan.

JDT kini menduduki tangga ketiga Kumpulan H dengan tujuh mata, kurang tiga mata daripada dua pasukan teratas, Persija Jakarta dari Indonesia dan Song Lam Nghe An FC, yang masing-masing mengumpul 10 mata, dengan berbaki satu perlawanan.

“Kami beraksi di gelanggang sendiri dan di hadapan penyokong setia JDT, maka kami mempunyai kelebihan dan kami tidak mahu mengecewakan mereka. Paling penting pemain perlu fokus dan mematuhi strategi taktikal yang direncanakan jurulatih.

“Jika kita patuh arahan, tiada yang mustahil untuk kita mendapat keputusan baik. Persiapan kita juga berjalan mengikut perancangan dan kita perlu menang bukan sahaja untuk pasukan dan menaikkan semangat pemain tetapi lebih penting memberi keyakinan kepada penyokong setia kita,” katanya dalam sidang media hari ini.

Safiq berkata dalam bola sepak segalanya boleh berlaku, namun yang lebih penting pemain perlu menampilkan aksi terbaik sambil berharap perlawanan esok akan memihak kepada JDT.

“Kami tidak boleh memandang rendah lawan kami kerana macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak. Kami mungkin menang 6-0, 1-0, seri atau lebih buruk kalah perlawanan itu, maka perkara yang perlu kami lakukan adalah mempamerkan aksi terbaik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Raul Longhi, berkata beliau akan melakukan pertukaran pemain dalam kesebelasan utama dalam perlawanan esok kerana pasukan berkenaan juga sedang melakukan persiapan berdepan Kelantan dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.

“Kami perlu merehatkan beberapa pemain utama untuk berdepan Kelantan pada 28 April ini kerana perlawanan itu juga sangat penting,” katanya.

Beliau berkata berikutan kekalahan kepada Pahang dalam saingan Piala FA pada Jumaat lalu, pasukan berkenaan kini berusaha keras memperbaiki prestasi mereka untuk aksi seterusnya.

“Apa pun, kemenangan ke atas Song Lam Nghe An esok akan menaikkan semangat pasukan,” katanya.

-- BERNAMA