Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie​, berlapang dada andai ada pemain yang mengambil keputusan angkat kaki selepas pasukan itu diselubungi isu kewangan ketika ini.

Situasi melibatkan tunggakan gaji yang melanda Perlis dilihat mencetuskan pelbagai andaian melibatkan pemain, jurulatih dan juga pasukan.

Bagaimanapun, desas-desus pemain akan memboikot aksi pertama berdepan UKM FC esok dinafikan Amizal.

Sekiranya ada pemain yang sudah tidak sanggup berdepan dengan isu itu dan memilih untuk keluar daripada pasukan, Amizal sedia membatalkan kontrak pemain terlibat.

"Ini situasi dan keadaan yang kami hadapi. Saya tidak goyang kaki, sebaliknya cuba menggunakan seluruh kudrat untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan gaji. Namun, andai kata pemain mahu angkat kaki, saya tidak boleh berbuat apa," katanya.

"Saya mudah. Contohlah ada pemain yang beritahu kepada saya bahawa dia tidak yakin dengan pengurusan Perlis dan mahu angkat kaki, menyertai pasukan lain, saya akan batalkan kontrak mereka. Saya tidak akan halang kerana saya hanya mahukan pemain yang meletakkan sepenuh hati mahu bermain dengan Perlis."

Isu kegagalan pembayaran dua bulan gaji daripada pengurusan Perlis mendapat jaminan Amizal untuk melunaskan pembayaran dalam masa terdekat.

Ketika ini, Amizal dalam proses memujuk semula empat penaja yang telah menarik diri sebelum ini agar kembali bersama Perlis, sekali gus merealisasikan misi pasukan itu yang telah lama padam daripada peta Liga Super.

"Pemain-pemain musim lalu memberikan kenyataan kepada media mengenai isu yang menyebabkan wujud kesan negatif kepada persatuan. Ia secara langsung dan tidak langsung memberi impak negatif kepada persatuan.

"Jadi, jika perkara itu tidak berlaku, saya boleh katakan bahawa sekarang kami tiada sebarang masalah. Orang tidak akan faham."