Barisan pemain skuad Singa Utara mempamerkan sikap profesional dalam usaha mereka memulihkan reputasi pasukan itu ketika membenam UiTM FC 0-3 semalam biarpun beraksi tanpa gaji dilunaskan sebanyak dua bulan.

Perlis melalui minggu sukar apabila dihimpit isu gaji tertunggak, khususnya buat Khyrill Muhaimeen Zambri, yang turut dikaitkan dengan ura-ura berpindah ke pasukan lain.

Ditambah kelibatnya tidak kelihatan ketika aksi pertama menentang UKM tempoh hari, Khyrill tampil sebagai perancang utama menembusi UiTM semalam -- menjaringkan dua gol bagi membantu Perlis meraih tiga mata pertama.

"Saya sangat gembira apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan. Ia merupakan hasil berkat keluarga serta penyokong skuad Perlis," kata Khyrill.

Sementara itu, pengendali UiTM , Ismail Zakaria, mengakui ketiadaan penyerang import, Zarko Korac, yang masih mengalami masalah visa membantutkan jentera serangan mereka.

"Korac masih lagi mempunyai masalah visa. Saya telah mengesahkan dia akan bersama pasukan Isnin ini," kata Ismail.