Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menyifatkan perlawanan Liga Super di antara jiran tetangga, The Bos Gaurus dan PKNP FC, di Ipoh semalam adalah perlawanan yang sangat menarik.

Menarik nafas lega apabila pada minit akhir masa tambahan permainan, pasukannya dihadiahkan sepakan penalti, sekali gus mencipta kemenangan 4-3 walaupun ketinggalan 3-1 seketika.

"Perlawanan yang menakjubkan walaupun keadaan padang basah. Kedua-dua pasukan bermain cantik. Cuma ketika ghairah menyerang, posisi pertahanan lebih terbuka dan kami dihukum dengan serangan balas PKNP.

"Bagaimanapun, saya kagum dengan usaha gigih pemain. Mereka tidak berputus asa sehingga ke penghujung permainan. Perak berhak untuk menang malam ini.

"Saya ucapkan tahniah juga kepada PKNP kerana beraksi begitu baik dan 'tabik' kepada penjaga gol, Ahmad Asraaf Omar, yang berjaya menjaga gawang dengan cemerlang, " ujar Durakovic.

Kemenangan itu meletakkan Perak kini di tangga kedua Liga Super dengan 24 mata.