Perjanjian kerjasama di antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Telekom Malaysia Media (TM), yang diumumkan sebagai penaja utama Liga Malaysia (Liga-M) hari ini, kelihatan masih samar.

Ia selepas kedua-dua pihak itu memeterai perjanjian selama tiga tahun tetapi tidak menyatakan nilai sebenar penajaan itu.

"Nilai sebenar perjanjian yang dimeterai ini, saya rasa terletak kepada faedah-faedah yang peminat bola sepak tempatan akan terima.

"Kerjasama ini mempunyai dua bahagian, iaitu daripada segi penyiaran dan interaksi bersama peminat tegar bola sepak tempatan," kata Ketua Pegawai Ekesekutif TM, Moharmustaqeem Mohammed.

Sebelum ini, MFL dan TM pernah mengikat perjanjian selama lapan tahun pada 2018 hingga 2025, namun ia hanya bertahan separuh jalan.

Difahamkan, nilai tajaan terbaru itu bernilai sekitar RM30 juta, namun masih tiada sebarang pengesahan daripada kedua-dua pihak

"Ia bukan masalah sama ada media perlu tahu atau tidak. Yang penting ialah rakan kongsi perlu tahu," kata Pengerusi MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Saya rasa ia bukan satu isu.

"Yang penting buat apa yang telah dimeterai hari ini dan perbincangan sebelum ini adalah dipersetujui kedua-dua pihak dan ia baik untuk bola sepak dan semua rakan kongsi (MFL)," katanya.



Editor: Muzaffar Musa