Pemain paling senior skuad bola sepak pantai kebangsaan, Ajasni Parman, sedia menyahut cabaran beraksi dalam Kejohanan AFC bulan depan walaupun usianya sudah menjangkau 44 tahun.

Ajasni, yang beraksi sebagai penjaga gol, pernah terbabit dalam sukan bola sepak padang dan juga futsal sebelum ini.

Namun, dia mengakui bola sepak pantai lebih sukar kerana memerlukan ketahanan lebih tinggi.

Di sebalik faktor usia, pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu berharap kehadirannya mampu membantu rakan sepasukan, dengan skuad kali kini rata-rata dibarisi pemain yang pertama kali mewakili negara.

"Bola sepak pantai sangat sukar kerana memerlukan kecergasan yang sangat tinggi.

"Pemain perlu berlari di atas pasir dan berlatih di dalam air. Kalau tak ada kecergasan, memang tak boleh nak beraksi," katanya.

Tempoh persediaan singkat menjadi antara halangan utama negara untuk menghadapi Kejohanan AFC nanti.

Malah, hanya satu pertandingan dapat disertai mereka, iaitu Kejohanan Thailand 'Five' di Bangkok baru-baru ini dan Ajasni melihat masih banyak yang perlu ditingkatkan andai ingin memberi cabaran kepada pasukan handalan Asia yang lain.

Kejohanan AFC menawarkan empat slot ke Piala Dunia di Bahamas, April depan.

"Pengalaman di Bangkok adalah sangat berharga bagi kami kerana berpeluang beraksi di samping pasukan handalan dunia, iaitu Jepun, Hungary dan Thailand.

"Kami banyak belajar dari segi taktikal dan kecergasan."