Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, menyifatkan kemenangan 4-0 ke atas SPAL membuktikan usaha gigih mereka untuk mencapai prestasi terbaik, namun berasakan perjalanan masih jauh buat anak buahnya.

Patrick Cutrone mencetak dua gol dan Lucas Biglia serta Fabio Borini masing-masing menambah satu jaringan untuk memastikan rekod tanpa kalah mereka dilanjutkan kepada lapan perlawanan.

Walaupun gembira pasukannya dapat mengutip tiga mata, Gattuso sedar skuad Rossoneri berdepan ujian sukar selepas jaringan pertama Cutrone, terutama sepakan percuma Federico Viviani yang terkena palang.

"Kami menampilkan aksi memukau. Empat jaringan tidak begitu adil jika dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi ketika mendahului 1-0.

"Apa yang penting adalah sentiasa berwaspada dan tidak mudah berpuas hati dengan prestasi semasa. Saya sentiasa mengingatkan seluruh pasukan di mana kedudukan mereka dua bulan lalu," kata Gattuso.

"Aksi lincah Manuel Lazzari memaksa saya meminta Hakan Calhanoglu mengawalnya dan membawa Ricardo Rodriguez lebih ke tepi untuk menjadikan aksi lebih terbuka.

"Kami telah meningkat dengan banyak tetapi perjalanan masih jauh," ujarnya.

Milan berharap dapat meneruskan kecemerlangan apabila berdepan Ludogorets dalam aksi Liga Europa pada Khamis ini sebelum menerima kunjungan Sampdoria bagi aksi Serie A, Ahad depan.