Ivan Perisic memuji kualiti yang dimiliki Lionel Messi, namun menegaskan Argentina hanya dapat mencapai sesuatu sekiranya mereka belajar bermain sebagai sebuah unit susulan kemenangan 3-0 Croatia dalam Piala Dunia Russia, awal pagi tadi.

Perisic mempamerkan aksi bertenaga di Nizhny Novgorod apabila kesilapan Willy Caballero dihukum Ante Rebic untuk jaringan pembukaan sebelum gol Luka Modric dan Ivan Rakitic menyusul untuk Croatia memastikan tempat di peringkat kalah mati Piala Dunia Russia buat kali pertama sejak edisi 1998 di Perancis.

Argentina, sebaliknya, berisiko tersingkir awal manakala Iceland sedar kemenangan ke atas Nigeria pada malam ini akan meletakkan mereka di kedudukan selesa mengiringi Croatia.

Croatia menenggelamkan aura Messi sepanjang perlawanan dan pemain sayap Inter Milan, Perisic, menegaskan Argentina perlu belajar untuk bekerjasama jika pemain berusia 30 tahun itu berhasrat untuk mencapai tahap seperti Cristiano Ronaldo bersama Portugal dalam kejohanan utama.

"Messi adalah yang terbaik, seperti juga Cristiano Ronaldo. Bagaimanapun, anda hanya akan mencapai sesuatu jika anda bermain sebagai sebuah pasukan," kata Perisic kepada Mediaset.

"Argentina perlu berubah jika mereka mahukan kemajuan.

"Kami berada di landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian dalam temasya Perancis 1998 dan ia harus berterusan begini.

"Kami beraksi dengan cukup baik. Di dalam bilik persalinan, kami berkata bahawa kami terpaksa bertahan dengan kukuh dan kami melaksanakannya.

"Kami mempunyai peluang dalam separuh masa pertama, sebab itulah jaringan kami tiba selepas rehat. Kami kini mengumpul enam mata, kami berhak mendapatkannya dan kami mahu menewaskan Iceland juga."

Keputusan seri menentang Iceland akan menjamin tempat teratas buat Croatia dalam saingan Kumpulan D dalam usaha mengelak daripada bertembung dengan Perancis di peringkat seterusnya.