ICELAND 1 CROATIA 2

Jaringan lewat daripada Ivan Perisic memastikan Croatia mengungguli Kumpulan D, Piala Dunia dengan mata maksimum selepas mereka mengalahkan Iceland 2-1 di Rostov-on-Don, awal pagi tadi.


Terdahulu, jaringan penalti pada minit ke-76 menerusi Gylfi Sigurdsson memberikan Iceland harapan untuk bangkit semula susulan daripada gol pembukaan Milan Badelj tetapi Perisic menjamin tiga mata untuk Croatia.

Croatia akan bertemu Denmark dalam pusingan 16 di Nizhny Novgorod, Isnin ini, sementara penampilan sulung Iceland dalam Piala Dunia berakhir walaupun menunjukkan usaha terbaik mereka bagi menghidupkan saingan.

Badelj menandakan penampilan pertamanya dalam kejohanan itu dengan jaringan pembukaan selepas dia datang dari belakang untuk melakukan rembatan jarak dekat pada minit ke-53.

Sigurdsson, yang terlepas sepakan penalti ketika Iceland tewas 2-0 kepada Nigeria dalam perlawanan kedua lalu, tidak mengulangi kesilapan sama apabila dia melakukan penyudah kencang selepas Dejan Lovren dipersalahkan kerana bola terkena tangannya di kawasan itu.

Tetapi semangat perjuangan Iceland akhirnya tidak membuahkan hasil apabila Perisic tampil menjaringkan gol untuk memastikan Croatia meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

Croatia mara ke pusingan 16 dengan diiringi Argentina yang meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Nigeria di St Petersburg.

Croatia menamatkan saingan Kumpulan D di tempat teratas dengan mengumpul sembilan mata sementara Argentina (4 mata) di kedudukan kedua, Nigeria (3) ketiga, dan Iceland (1) keempat.