Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester City mungkin perlu menghadapi saingan Perisai Komuniti dengan menggunakan barisan kurang berpengalaman memandangkan pemain utamanya masih diberikan waktu rehat selepas jadual padat musim lalu dan Euro 2020.

City memulakan aksi pramusim dengan menewaskan Preston North End 2-0 awal pagi tadi.

Guardiola menurunkan Joao Cancelo, Nathan Ake, Ruben Dias dan Benjamin Mendy di bahagian pertahanan di depan pejaga gol muda Amerika Syarikat, Zack Steffen, sementara hanya Fernandinho dan Riyad Mahrez merupakan pemain pasukan utama yang terlibat dalam perlawanan itu.

City merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Liverpool musim lalu selain memenangi Piala EFL dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum tewas kepada Chelsea sebagai menggambarkan betapa padatnya aksi mereka sejak penghujung musim 2019-20 yang tertunda.

Dengan kebanyakan pemainnya turut terlibat dengan Kejohanan Eropah, Guardiola perlu mengutamakan usaha mempertahankan kejuaraan liga daripada saingan pembuka tirai itu.

Mereka akan melayani Barnsley di stadium akademi mereka hujung minggu ini sebelum membuat perhitungan dengan Leicester City dalam perebutan Perisai Komuniti pada 7 Ogos ini.

Bercakap dalam laman web rasmi pasukan itu selepas menewaskan Preston, Guardiola berkata: "Kami perlu membiasakan diri dengan hanya tiga atau empat pemain daripada pasukan utama, setiap minggu akan ada pemain yang kembali, harap-harap mereka pulang dan dapat berlatih.

"Saya sedar kami tidak mempunyai banyak masa kerana dalam 10, 11, 12 hari ini, kami perlu menghadapi perlawanan Perisai Komuniti dengan hanya tiga pemain tetapi kami akan menurunkan (pemain daripada) pasukan kedua dan akan mencubanya.

"Setiap musim amat mencabar, jadi perkara ini amat penting, kami memerlukan rehat, secara mental.

"Sebagai pengurus dan staf belakang tabir, kami mempunyai waktu tetapi pemain kami bersaing dalam Kejohanan Eropah dan disebabkan itu mereka perlu berehat selama tiga atau empat minggu," katanya