Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengakui bintang utama kelab itu, Cristiano Ronaldo, berasa marah dan kecewa ketika ini, namun percaya pemain itu akan kekal di Santiago Bernabeu.

Ronaldo telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) ekoran dituduh terlibat dengan penipuan cukai berjumlah €14.7 juta (RM71 juta).

Bagaimanapun, Perez menegaskan dia tidak bimbang dengan laporan tersebut ekoran Ronaldo masih terikat dengan kontrak sehingga 2021.

"Cristiano masih mempunyai kontrak bersama kami," Perez memberitahu esRadio, semalam.

"Apa yang kita tahu, dia ada meluahkan rasa marah terhadap rakan sepasukannya dan perkara itu diterbitkan A Bola. Saya masih belum bercakap dengannya.

"Bagi saya, apa yang diterbitkan media tidak penting. Apa yang kita boleh lakukan adalah tunggu sehingga berakhirnya Piala Konfederasi.

"Dia sedang marah. Dia seorang yang memiliki integriti. Ramai pihak yang mahu menyakitinya dengan isu cukai dan sebagainya.

"Kami teruja dia berada di Madrid. Jika kamu percaya rancangan radio ini akan berterusan, jadi saya juga percaya Ronaldo akan terus bersama kami."

Ronaldo telah menghabiskan lapan musim bersama Madrid setakat ini dan tiga kali muncul juara Liga Juara-Juara Eropah dan dua kali menjuarai LaLiga.