Pemain sayap Felda United, Fazrul Hazli Kadri, mengakui percaturan taktikal jurulatihnya, B. Sathianathan, menjadi faktor utama kebangkitan The Fighters untuk mengikat Perak 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Jengka, malam tadi.

Bayangan kekalahan kelima berturut-turut sudah menjelma buat skuad Felda selepas Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak menyumbat gol kedua Perak pada minit ke-52.

Menggugat keyakinan pemain untuk bangkit, Sathianathan membuat penggantian membabitkan Fazrul dan Alif Yusof.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Felda berjaya meraih dua gol pantas dalam tempoh tiga minit hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Lucas Cano.

"Dalam babak kedua, jurulatih membuat perubahan taktikal bagi menangani tekanan yang dilakukan Perak," kata Fazrul.

Sathianathan pula berkata pujian juga harus diberikan kepada pemain yang tidak mudah menyerah kalah: "Ia bukan sahaja berkait dengan perubahan taktikal tetapi pemain juga tidak putus asa."

Kebangkitan skuad Felda juga menyaksikan hajat Mehmet Durakovic untuk melepasi ujian sulung dengan kemenangan bersama Bos Gaurus terbantut.

"Saya masih dalam proses mengenali pemain tetapi malam ini (malam tadi) pemain beraksi dengan cukup baik dalam tempoh 45 minit pertama," katanya.

Luar negara mahu pun tempatan, Durakovic dan Sathianathan, membuktikan mereka sama hebat dengan keputusan seri yang dicatatkan.

Sathianathan pernah membawa ATM melangkah ke saingan Liga Super pada 2013 selepas hanya semusim mengendalikan pasukan itu.

Sementara itu, Durakovic dan bekas pasukannya, Selangor, juga cukup sinonim dengan kejayaan merealisasikan 'misi 33' Piala Malaysia pada 2015, selepas 10 tahun mengidam piala tersebut.

Berikut pencapaian kedua-dua jurulatih dalam saingan Liga Malaysia:

B. Sathianathan

Kejayaan bersama Kelantan:
• Juara Piala Malaysia 2010

Kejayaan bersama ATM:
• Juara Liga Perdana 2012
• Juara Piala Sumbangsih 2013

Mehmet Durakovic

Kejayaan bersama Selangor:
• Juara Piala Malaysia 2015
• Naib Juara Liga Super 2014 & 2015