Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, merancang mengadakan perlawanan persahabatan menentang Bahrain atau Arab Saudi sebagai ujian terakhir buat anak buahnya sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia 2018.

Malaysia berdepan misi penting, iaitu menghadapi temasya terbesar Asia di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Sememangnya anak buah Kim Swee ditagih untuk mengekalkan momentum selepas mengharungi kempen Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu, dengan prestasi memuaskan.

Menyedari hakikat itu, Kim Swee mengakui pemainnya perlu diuji dengan pasukan-pasukan handalan Asia sebagai persediaan mantap bagi mengharungi temasya itu.

"Kami ada dua pasukan, iaitu Bahrain dan Arab Saudi. Mereka ingin bermain dengan kami di Kuala Lumpur tetapi kami harus menunggu kedudukan kami dalam undian nanti," ujarnya.

Skuad negara akan memulakan latihan pertama mereka Ahad ini, yang menyaksikan barisan pemain kali ini dibarisi rata-rata muka baru.

Kim Swee, bagaimanapun, terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamed Syamer Kutty Abba, yang terpaksa digugurkan ekoran kecederaan.

"Tiada pengganti buat masa ini kerana masa sudah singkat. Kami hanya berlatih selama enam hari sebelum kami bermain dengan Felda dalam perlawanan persahabatan pada Jumaat nanti," katanya lagi.