Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona masih belum mencapai kata sepakat berhubung perpindahan Neymar dan perbincangan masih dijalankan, kata bapa dan ejen pemain itu.

Neymar dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou sebelum jendela perpindahan Eropah berakhir bulan ini.

Bintang Brazil itu dikatakan mahu kembali bersama Barca selepas dua tahun meninggalkan juara bertahan LaLiga itu secara kontroversi sehingga bergelar pemain termahal dunia dengan perpindahan bernilai EUR222 juta (RM1.02 bilion).

Pengarah Sukan PSG, Leonardo, mengesahkan Neymar sememangnya mahu meninggalkan kelab itu dan boleh menyertai mana-mana pasukan sekiranya tawaran yang tepat diterima.

Namun, Barca dan PSG gagal mencapai persetujuan sambil satu lagi gergasi LaLiga, Real Madrid, turut menyaksikan tawaran mereka ditolak.

Neymar -- masih memiliki baki tiga tahun kontrak bersama PSG -- kini masih belum beraksi buat PSG dalam saingan Ligue 1 musim ini.

Pengurus PSG, Thomas Tuchel, berkata dia tidak akan menyenaraikan pemain berusia 27 tahun itu sehingga soal masa depannya diputuskan.

Namun, bapanya, Neymar Sr, menghangatkan semula soal masa depan anaknya di ibu negara Perancis itu.

"Perbincangan di antara kedua-dua kelab belum tamat," katanya.

"Dia hanya mahu berada di tempat yang membuatkannya gembira. Dia gembira di Barcelona. Apabila rakan-rakannya bertanya sama ada dia mahu kembali ke sana, ia menyedihkannya."

Barca dilaporkan melakukan bidaan berserta pemain untuk PSG dalam usaha melengkapkan perpindahan itu sambil Ousmane Dembele dan Ivan Rakitic dikatakan antara nama yang terlibat dalam tawaran tersebut.

"Sebagai ejen, anda rasa tidak kukuh apabila tiada struktur yang membolehkan anda datang dan pergi," tambah bapanya.

"Tiada klausa perpindahan dalam kontraknya dan ia membuatkan situasi menjadi sukar. Kami berjuang untuk mencapai persetujuan. Kami memberikan segalanya yang terbaik buat Neymar."