Pengenalan pemain gantian untuk kecederaan kepala akan diuji pada bulan depan.

Semalam, Badan Perundangan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) mengumumkan bahawa percubaan itu telah disetujui selepas "kurang setahun rundingan terperinci dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, doktor pasukan, wakil pemain, jurulatih, penganjur pertandingan, pengadil dan pakar undang-undang bola sepak".

Protokol itu mencadangkan pemain yang ditimpa kecederaan kepala atau disyaki mengalami hal seumpama itu akan "dikeluarkan daripada perlawanan oti demi melindungi kesihatan mereka" sambil pasukan akan diizinkan untuk memasukkan pemain gantian.

IFAB berharap pendekatan itu boleh mengurangkan risiko pemain mengalami kecederaan kepala dalam sesebuah perlawanan termasuk untuk memastikan pasukan-pasukan tidak mengalami kerugian sekiranya pemain terpaksa meninggalkan padang.

Protokol baru itu mengirimkan "satu mesej yang tegas bahawa jika timbulnya keraguan, pemain boleh dikeluarkan tetapi bilangan atau taktikal sesebuah pasukan itu tidak akan terjejas dengan mengutamakan kesejahteraan pemain".

Kebimbangan mengenai kecederaan kepala meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas beberapa insiden berprofil tinggi dalam liga elit Eropah.

Dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kontroversi tercetus selepas pertahanan Arsenal, David Luiz, diizinkan untuk meneruskan aksi sebelum diganti ketika rehat selepas berlaga dengan Raul Jimenez lalu menyebabkan tengkorak penyerang Wolves itu retak

Persatuan Bolasepak (FA) di media sosial mengesahkan protokal itu akan mula dinilai dalam Piala FA, Liga Super Wanita, Piala FA Wanita dan Kejuaraan Wanita.

Lembaga IFAB juga bersetuju untuk membenarkan lima pemain simpanan dimasukkan dalam sesebuah perlawanan.

Pertandingan domestik ketika ini boleh menggunakan peraturan tersebut hingga 31 Disember 2021 dan ia akan dilanjutkan dalam perlawanan antarabangsa hingga 31 Julai 2022.

IFAB juga bersetuju bahawa "penjelasan lebih lanjut" mengenai tafsiran lontaran ke dalam harus dibincangkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), Mac depan, ekoran "pelaksanaannya yang tidak tekal".