Andriy Shevchenko berkata "perang bukan jawapannya" sambil menggesa orang ramai untuk membantah serangan Russia ke atas negaranya, Ukraine.

Tentera Russia dilaporkan telah merentasi sempadan Ukraine semalam dan memulakan tindakan ketenteraan yang mendapat kecaman meluas.

Shevchenko, yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Ukraine dan penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, menggesa orang ramai untuk membantunya dalam bersuara mengenai serangan itu dan meluahkan keinginannya untuk keadaan kembali aman.

"Seawal pagi, perang besar-besaran telah dimulakan Rusia. Rakyat kami dan keluarga saya telah diserang," tulis Shevchenko dalam laman sosial.

"Ukraine dan penduduknya hanya mahukan keamanan dan integriti wilayah.

"Tolonglah, saya meminta kepada anda semua untuk menyokong negara kami dan meminta kerajaan Russia menghentikan keganasan mereka dan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.

"Kami hanya mahukan keamanan. Perang bukan jawapannya."

A post shared by Andriy Shevchenko (@andriyshevchenko)