PERANCIS 3 ITALI 1

Perancis yang dikendalikan Didier Deschamps tidak berdepan masalah untuk mengatasi Itali 3-1, sekali gus membuktikan mereka sudah bersedia untuk menghadapi Piala Dunia 2018 dalam aksi persahabatan di Allianz Riviera, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, Perancis yang menundukkan Ireland 2-0, Selasa lalu, tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan, Samuel Umtiti, pada minit kelapan.

Percubaan jarak dekat Kylian Mbappe berjaya diselamatkan Salvatore Sirigu, namun pemain bek Barcelona itu pantas menerpa untuk melepaskan rembatan jarak dekat bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain tengah, N’Golo Kante, hampir menambah jaringan buat Les Bleus menerusi satu sepakan bebas dari luar kotak penalti tetapi bola rembatan tonggak Chelsea itu sekadar singgah ke tiang gol.

Bagaimanapun, Perancis akhirnya mengutip jaringan kedua hasil sepakan penalti Antoine Griezmann pada minit ke-29, susulan Lucas Hernandez dijatuhkan oleh Rolando Mandragora tetapi Itali pantas merapatkan jurang gol, lima minit kemudian.

Sepakan percuma penyerang utama Itali, Mario Balotelli, gagal ditampan kemas oleh Hugo Lloris dan kapten Azzurri, Leonardo Bonucci, bijak menggunakan kesempatan untuk menolak bola masuk bagi menjadikan kedudukan 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Perancis terus melebarkan kedudukan, kali ini menerusi rembatan kaki kanan Ousmane Dembele yang memerangkap Sirigu sehingga gagal menyelamatkan bola lambung daripada bintang Barcelona itu pada minit ke-63.

Mbappe menyumbat gol keempat selepas melepasi kawalan Bonucci ketika aksi berbaki 10 minit tetapi pengadil perlawanan, Anthony Taylor, mendakwa penyerang berusia 19 tahun itu berada dalam posisi ofsaid dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat permainan.

Perancis akan melengkapkan aksi pemanas badan bertemu Amerika Syarikat pada 10 Jun ini sebelum memulakan saingan Piala Dunia 2018 menentang Australia bagi perlawanan pertama peringkat kumpulan.