Perancis jelaskan sebab Kylian Mbappe dihantar pulang ke PSG

Shaiful Shamsudin
September 4, 2021 00:56 MYT
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menjelaskan Kylian Mbappe dibenarkan pulang ke pangkuan Paris Saint-Germain (PSG) berikutan dibelenggu kecederaan ringan.
Mbappe dikeluarkan di penghujung perlawanan kelayakan Piala Dunia ketika Les Blues seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina, kelmarin, akibat masalah betis.
Semalam, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengumumkan Mbappe diizinkan untuk meninggalkan kem kebangsaan menjelang perlawanan menentang Ukraine, awal pagi esok, disusuli Finland (Rabu).
Kecederaan pemain berusia 22 tahun itu tidak dianggap serius tetapi Deschamps belum bersedia mengambil risiko untuk mempertaruhkan penyerang produktif berkenaan dalam dua perlawanan berikutnya.
"Saya amat jelas mengenai hal ini. Kylian berasakan sesuatu yang tidak kena di penghujung perlawanan lalu," kata Deschamps dalam sidang akhbar malam tadi.
"Kami telah menjalankan segala ujian. Tempoh pemulihannya sangat suntuk, mujur masalah otot ini dapat dielakkan tetapi masalah mengenainya tetap wujud.
"Kecederaan ini telah berlarutan di kelabnya sejak Mei lalu. Dia berasakan kesakitan yang sama hingga terlepas pertemuan kedua menentang Manchester City di Liga Juara-Juara (UCL).
"Saya berpendapat adalah tidak kemungkinan dia dapat diturunkan sebelum pertembungan Rabu depan jadi saya tidak tahu apa manfaatnya jika kami mengekalkannya."

Make the trip from Strasbourg to Kiev with Les Bleus on the eve of the match against Ukraine (kick-off 20:45 French time)?#FiersdetreBleus pic.twitter.com/paZHqZvKHM

— French Team ⭐⭐ (@FrenchTeam) September 3, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun meletakkan Mbappe untuk menjana rangkaian tiga penyerang di samping Antoine Griezmann dan Karim Benzema, Perancis hanya mampu seri dengan Bosnia-Herzegovina dalam pertembungan Kumpulan D, kelmarin.
Ia adalah perlawanan pertama Les Blues sejak tersingkir di tangan Switzerland di peringkat 16 Euro 2020, namun Deschamps tidak gusar dengan penampilan pasukannya sebelum menghadapi Ukraine di Kiev kelak.
"Saya berpengalaman luas untuk mengetahui bagaimana (proses) kelayakan ini berfungsi," katanya lagi.
"Keputusan menentang Bosnia bukanlah seperti yang kami harapkan tetapi kami berada di kedudukan yang terbaik. Saya kekal tenang."
Perancis menerajui kumpulan dengan empat mata lebih baik daripada Ukraine yang berada di tempat kedua selepas seri keempat-empat perlawanan.
"Dengan baki empat perlawanan lagi, Ukraine mengekori kami. Kemenangan akan mengukuhkan kedudukan kami tetapi Ukraine juga mahu menang," tambah Deschamps.
"Kami akan turun dengan hasrat yang sama seperti yang kami lakukan ketika menentang Bosnia. Setiap perlawanan adalah penting, khususnya esok."
#PSG #Kylian Mbappe #Perancis #kelayakan Piala Dunia #Piala Dunia 2022