Sasaran skuad negara untuk layak ke Piala Dunia 2026 bukan sekadar cakap kosong, kata pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri.

Secara jelas, material yang diperlukan negara sudahpun terbentuk dengan penubuhan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak tiga tahun lalu, di mana kelompok pertama program ini adalah pilihan terbaik pada 2026 nanti.

Katanya, ia tidak hairan apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan kesediaan untuk mengambil alih program itu sebaik sahaja dipilih menerajui badan induk itu, bulan lalu.

"Mereka telah buat dari awal, skuad bawah 13, bawah 14 dan bawah 15. Jadi, pemain yang akan bermain pada 2026 nanti adalah daripada pasukan ini," katanya.

"Saya rasa ia perlu dititikberatkan dan Tunku Ismail sendiri fokus pada NFDP ini dan cuma peralihan ke FAM dan melaksanakan program itu sehingga 2026 nanti."

Asmawi turut menyentuh kepepimpinan FAM terdahulu yang gagal menepati sasaran beraksi dalam Piala Dunia 2014.

"Kalau nak ikut perbandingan di antara pemimpin dahulu dan pemimpin sekarang, kita dapat lihat apa yang cuba dilakukan oleh pemimpin lama itu mungkin tidak menjadi kenyataan dan kita sudah lepasi 2014. Saya dapat lihat kali ini cukup berbeza," katanya.