Skuad Harimau Malaya diberi jaminan tidak berdepan masalah mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa Mac depan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meletakkan pasukan kebangsaan sebagai keutamaan untuk penjadualan Liga Malaysia 2022.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif, Stuart Ramalingam, ketika memberi perkongsian lanjut kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Jadual yang telah ditetapkan FIFA telah diberikan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bagi jadual saingan bulan Mac dan April tidak akan menjejaskan persiapan skuad kebangsaan menghadapi saingan kelayakan Piala Asia," kata Stuart.

Terdahulu, skuad negara kempunan untuk beraksi dalam kalendar FIFA yang akan dibuka dari 24 Januari hingga 1 Febuari ini susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menetapkan sebarang perlawanan atas faktor pra musim pasukan Liga M.

Ini bermakna, persiapan skuad negara untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Asia hanya akan bermula dalam kalendar FIFA seterusnya iaitu dari 21 hingga 29 Mac depan ketika negara jiran seperti Indonesia sudah mempunyai perancangan khusus seawal Januari.

Tampak memberikan kerugian buat skuad negara kerana faktor persiapan menjadi punca utama kegagalan dalam Piala AFF Disember lalu, MFL selaku badan pentadbir Liga M sedia memenuhi kehendak FAM walaupun berdepan cabaran sukar melakukan penjadualan liga musim ini.