Juara Piala Malaysia, Perak menolak undangan bermain dalam satu kejohanan persahabatan di Thailand kerana tarikh tamat pertandingan itu terlalu dekat dengan permulaan Liga Malaysia 2019.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata kejohanan Leo Cup itu akan berlangsung di Bangkok dari 12 hingga 26 Januari ini.

"Kejohanan itu memang baik sebagai pemanas badan tetapi jadualnya hampir hujung Januari sedangkan kami ada misi besar, iaitu Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2 Februari di Larkin.

"Kami mahu tumpukan perhatian terhadap perlawanan pembuka tirai Liga M itu.

"Oleh yang demikian, kami terpaksa tolak undangan itu, " katanya.

Menurut Adly, Piala Leo itu merupakan kejohanan pra-musim yang diadakan setiap tahun untuk pasukan-pasukan dari Thailand.

Katanya, untuk tahun 2019, terdapat 16 pasukan yang akan menyertai kejohanan berkenaan, iaitu enam pasukan dari Liga Thailand 1, enam pasukan dari Liga Thailand 2 dan empat pasukan dari luar negara.

Format kejohanan itu menggunakan sistem kalah mati.

Selain Perak, tiga lagi pasukan luar negara adalah dari Vietnam, Laos dan Kemboja.

Berikutan itu, Perak sedang mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan tempatan dalam tempoh terdekat.