Perak tidak akan mendapat khidmat bek kiri, Amirul Azhan Aznan, untuk pertemuan separuh akhir pertama Piala FA dengan juara bertahan, Pahang, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata bekas pemain pertahanan kebangsaan itu masih merawat kecederaan lutut kanan.

"Ketiadaan Azhan akan dirasai tetapi perjuangan tetap akan diteruskan.

"Saya akan cari pengganti dan melakukan sedikit rombakan bagi mengimbangi kemampuan pasukan," kata Durakovic.

Jurulatih dari Australia itu berharap anak buahnya mampu mempamer persembahan terbaik seperti ketika turun dalam perlawanan terakhir mereka menentang Terengganu di Ipoh. Perak menang 3-1.

"Kami perlu kekal corak sama, malah bermain lebih baik lagi jika ingin mempunyai peluang untuk menang.

"Pahang memiliki jentera serangan berbisa dalam gandingan (Dickson) Nwakaeme, (Mohamadou) Sumareh dan Mat Yo.

"Mereka perlu diberi perhatian dan tumpuan khas.

"Apa yang pasti perlawanan ini pasti tidak mudah tetapi kami akan cuba sedaya-upaya," katanya.